Cara Menjaga Kesihatan Diri. Berikut dikongsikan contoh karangan jenis fakta bertajuk cara-cara menjaga kesihatan diri. Sila rujuk tarikh Peperiksaan awam meliputi UPSR, PT3 dan SPM di Jadual Peperiksaan.
Terdapat dua contoh karangan yang dikongsikan dibawah ini untuk panduan semua pelajar dalam menghasilkan karangan yang berkualiti.
Karangan Fakta : Cara-Cara Menjaga Kesihatan Diri
Kesihatan dianggap perkara yang paling penting dalam kehidupan seseorang. Tahap kesihatan menentukan keadaan kehidupan yang dijalani oleh seseorang . Ada banyak cara untuk menjaga kesihatan diri. Antara cara menjaga kesihatan ialah dengan mengambil makanan atau diet yang seimbang. Memakan makanan seimbang dapat memastikan badan menerima khasiat yang diperlukan.
Kita digalakkan memakan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran untuk kekal sihat. Selain itu,aktiviti senaman ringan dua atau tiga kali seminggu juga mampu memberikan tahap kesihatan yang baik. Peluh yang keluar ketika kita bersenam dapat membuang sisa toksik yang tidak diperlukan oleh badan. Dalam masa yang sama senaman ini turut mengurangkan tekanan atau stres yang dialami oleh seseorang itu.
Penjagaan kebersihan turut berperanan besar untuk menghalang penularan penyakit. Selain daripada memastikan diri sentiasa bersih, kawasan tempat tinggal juga harus dipantau tahap kebersihannya agar penyakit berjangkit seperti taun tidak merebak. Seseorang itu harus menjalani pemeriksaan doktor yang kerap untuk memastikan kesihatan terpelihara. Tindakan ini menyebabkan sesuatu penyakit dapat dikesan lebih awal dan menerima rawatan yang sewajarnya.
Kesimpulannya, menjaga kesihatan merupakan satu tindakan yang sepatutnya dilakukan oleh semua orang. Harta yang penting dalam diri manusia ialah kesihatannya bukannya wang ringgit kerana kita boleh hidup tanpa wang tetapi tanpa kesihatan, nyawa kita akan melayang.
Contoh 2 : Cara-cara menjaga kesihatan
Kesihatan ialah anugerah Tuhan yang wajar kita syukuri dan pelihara dengan sebaik mungkin . Menjaga kesihatan ialah tanggungjawab setiap individu. Pelbagai cara dapat dilakukan untuk menjaga kesihatan.
Masalah kesihatan seseorang berkait rapat dengan amalan pemakanan. Sebaik-baiknya, setiap makanan yang diambil perlu mengandungi zat dan vitamin yang dapat menyihatkan badan. Setiap hari, kita perlu mengambil makanan yang seimbang untuk mengekalkan kecergasan dan kesihatan tubuh badan.
Menjaga kebersihan dalam semua aspek amatlah penting supaya kita dapat hidup ceria dan terhindar daripada sebarang penyakit . Kebersihan diri dan tempat tinggal menjadikan kita dalam keadaan selasa. Kebersihan makanan juga dapat menjamin kehidupan yang sempurna.
Selain itu, kita juga perlu bersenam untuk menyihatkan badan. Apabila bersenam, badan kita akan mengeluarkan peluh. Bersenam boleh dilakukan mengikut umur seseorang supaya selamat dan berkesan. Badan kita perlu berehat setalah bekerja keras sepanjang hari. Kita perlu tidur sekurang-kurangnya lapan jam sehari supaya badan selalu sihat.
Sesungguhnya, menjaga kesihatan amat penting. Badan yang sihat menjadikan otak cerdas. Jagalah kesihatan kita untuk kesejahteraan hidup.